Politik

Tak puas hati sebab tak tercalon perkara biasa – Anwar

KUALA LUMPUR 28 Julai – Setiap kali adanya pilihan raya, pasti ada yang tidak berpuas hati mengenai soal calon biarpun ia sudah diputuskan oleh parti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, soal tidak berpuas hati adalah perkara biasa setiap kali parti meletakkan calon bertanding.

“Kita dengar, kita hormat dan cuba terangkan, tetapi ia tetap tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

“Saya sudah buat yang terbaik, tetapi masih ada yang maki hamun hari-hari juga, sabar je lah,” katanya pada sidang media program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di Tapak Pesta di sini, hari ini.

Anwar berkata, setakat ini keadaan terkawal dan tidak melemahkan parti menjelang hari penamaan calon Sabtu ini.

“Dahulu mereka (yang protes) juga dibantu dan sepatutnya mereka faham keadaan ini.

“Kita perlu ada pemimpin pelapis, tidak boleh kekal sampai bila-bila,” katanya.

Mengenai soal manifesto, Anwar menyerahkan kepada setiap negeri untuk mencorakkan bentuk manifesto mereka sendiri.

“Kita serahkan kepada setiap negeri mengenai manifesto mereka mengikut kesesuaian. Ada perkara yang mereka mahu lakukan dan kita percaya ia dapat dilakukan mengikut kesesuaian serta rancangan mereka sendiri,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR menyerahkan watikah perlantikan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan di Hotel Tasik Villa di sini. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button