‘Tak sengaja langgar, mangsa tiba-tiba brek secara mengejut’ – Pemandu Ativa
Lelaki berkenaan yang juga pegawai kanan polis dari PDRM Kontinjen Kedah itu berkata, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, membuat bunyi bising dengan ekzos motosikal yang telah diubah suai

KUALA LUMPUR 16 Dis – Tular di laman X salinan laporan polis pemandu Perodua Ativa yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan seorang calon SPM di SMK Jati maut.
Berdasarkan gambar salinan laporan berkenaan, lelaki berkenaan yang juga pegawai kanan polis dari PDRM Kontinjen Kedah itu berkata, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, membuat bunyi bising dengan ekzos motosikal yang telah diubah suai.
“…semasa hendak mengambil isteri di SMK Jati, saya terdengar bunyi ekzos motosikal jenis Yamaha yang sangat kuat. Saya kemudian telah pergi ke arah motosikal tersebut dan mendapati seorang remaja lelaki sedang ‘press’ minyak motosikal dengan ekzos yang telah diubah suai.
“Saya cuba menahannya, tetapi beliau terus memecut sambil menekan minyak dengan bunyi yang kuat,” katanya.
Lelaki berkenaan kemudiannya cuba mengejar pelajar itu dan sebaik tiba di lokasi kejadian, dia mendakwa mangsa brek secara mengejut.
“Semasa saya mengejarnya dalam tempoh seminit, tiba-tiba motosikal itu terus membrek secara mengejut dan saya juga telah menekan brek. Tetapi telah terlanggar beliau,” katanya dalam laporan tersebut.
Lelaki itu kemudiannya keluar daripada kenderaannya untuk memberi bantuan kepada remaja terbabit namun orang awam yang turut menghulurkan bantuan dan menghubungi ambulans.
Bagaimanapun, pengadu mendakwa ada beberapa individu yang mula memarahi dan seakan-akan mahu memukulnya, membuatkan dia terpaksa beredar dari lokasi kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.
Terdahulu media melaporkan seorang pelajar tingkatan lima maut akibat dilanggar kereta Perodua Ativa yang dipandu oleh pegawai kanan polis terbabit.
Polis mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan di dada dan abdomen dan suspek telah direman selama untuk siasatan lanjut. – Xklusif