Takut kantoi mengandung, pelajar buat laporan palsu dakwa diri dirogol
Laporan palsu itu terbongkar selepas keterangan yang diberikan didapati mencurigakan.
KUALA LUMPUR 17 Jan. – Gara-gara takut diketahui keluarga kerana mengandung anak luar nikah, pelajar sebuah kolej di negeri ini sanggup membuat laporan polis palsu dirogol lelaki tidak dikenali pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, perbuatan pelajar berusia 20 tahun itu terbongkar selepas keterangan diberikannya didapati mencurigakan.
“Polis telah menjalankan soal siasat awal terhadap suspek mengenai kejadian rogol yang dikatakan berlaku pada 16 Januari jam lebih kurang 6.15 petang bertempat di sebuah rumah di Kampung Serting Ilir, Bahau di sini.
“Keterangan suspek telah dirakam dan menceritakan semasa berada di rumah telah dimasuki oleh seorang lelaki tidak dikenali dengan memakai pakaian warna hitam dan memakai pelitup muka,” katanya.
Menurutnya, suspek mendakwa dibawa masuk ke dalam bilik tidur dan dirogol.
Bagaimanapun katanya, polis mendapati keterangan diberi suspek agak mencurigakan dan hasil pemeriksaan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di lokasi juga tidak menjumpai spesimen atau cecair air mani di tempat kejadian.
“Suspek telah dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan suspek tidak mengalami kecederaan dan telah mengandung lima minggu,” katanya.
Tambah Chang Hook, pemeriksaan pada telefon suspek didapati terdapat perbualan antaranya dengan teman lelaki selepas laporan polis dibuat.
Ujarnya, terdapat perbualan yang mencurigakan dan disyaki laporan polis yang dibuat oleh suspek adalah tidak benar.
“Soal siasat lanjut terhadap suspek dilakukan dan dia mengaku laporan polis yang dibuat adalah tidak benar dan rekaan semata-mata.
“Suspek merupakan pelajar kolej di Negeri Sembilan dalam jurusan Diploma dan membuat laporan palsu kerana telah mengandung hasil hubungan seks dengan teman lelaki dan takut diketahui keluarganya,” katanya. — Sinar Harian