Berita

Tanah jerlus Masjid India: Pelancong wanita masih belum ditemui

Polis mengesahkan mangsa kejadian tanah jerlus di hadapan Malayan Mansion, Masjid India dekat Kuala Lumpur masih belum ditemui sehingga kini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan keluarga warganegara India telah datang ke Malaysia sejak dua bulan lalu untuk bercuti.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan sehingga mangsa ditemui.

“Terdapat cabaran kepada pasukan mencari dan menyelamat apabila terdapat aliran air deras bawah tanah yang menyukarkan mangsa ditemui.

“Di dalam sana ada aliran air yang deras sampai hujung sana. Tindakan kita perlu ikut peringkat, kerana kawasan ini ada pelan Indah Water Konsortium semua,”katanya ketika ditemui di lokasi kejadian

Rusdi berkata, sekiranya penutupan saliran air bawah tanah dibuat, dikhuatiri keadaan lebih buruk boleh berlaku di kawasan sekitar.

“Saya dimaklumkan kalau penutupan air dibuat, mungkin akan berlaku banjir, jadi kita buat strategi menerusi nasihat bomba.

“Kita tak boleh mudah masuk macam tu, kita berdoa sebelum malam boleh menemui mangsa, semoga mangsa masih hidup,”ujarnya.

UtusanTV sebelum ini melaporkan, kejadian berlaku ketika mangsa yang berjalan kaki dari Lebuh Ampang telah berhenti duduk di bongkah batu di Jalan Masjid India.

Secara tiba-tiba berlaku mendapan tanah dan bongkah batu tersebut jatuh ke dalam lubang bersama-sama mangsa.

Operasi ini turut dibantu oleh 35 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 14 anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta empat ahli dari Hospital Kuala Lumpur.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button