Berita

Tanah runtuh di Puchong, 29 penduduk diarah pindah

9 rumah itu terletak hampir dengan kawasan tanah runtuh dan 29 penghuninya diarah berpindah segera sebagai langkah keselamatan kerana bimbang berlaku lagi pergerakan tanah

KUALA LUMPUR 17 Dec – Seramai 29 penghuni di sembilan rumah di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, di Puchong dekat sini, diarah berpindah susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan, berkata satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Laman Puteri 3, Bandar Puteri, Puchong.

Beliau berkata, sembilan rumah itu terletak hampir dengan kawasan tanah runtuh dan 29 penghuninya diarah berpindah segera sebagai langkah keselamatan kerana bimbang berlaku lagi pergerakan tanah.

“Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 malam tadi disebabkan hujan lebat yang tidak berhenti bermula jam 5.45 petang sehingga jam 7.30 malam tadi menyebabkan berlaku pergerakan tanah.

“Kejadian tanah runtuh turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan, malam semalam.

Katanya, empat kenderaan yang tertimbus itu masing-masing sebuah Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citra.

Anbalagan berkata, setakat ini semua sembilan kediaman itu sudah dikosongkan dengan lapan orang daripada satu keluarga berpindah sementara ke PPS Dewan Serbaguna MBSJ, manakala yang lain menumpang di rumah saudara masing-masing.

“Kita turut membuka Pusat Kawalan tempat kejadian (PKTK) di Jalan Wawasan 3/9 dan pemantauan di lokasi kejadian terus dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, selain pihak polis, beberapa agensi turut melakukan pemantauan dan kawalan di lokasi termasuk pasukan bomba, Jabatan Kejuruteraan MBSJ, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS). – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button