Berita

Tanah runtuh di TTDI, Sri Petaling, Cheras selepas hujan lebat

Hujan lebat pagi ini telah mencetuskan kejadian tanah runtuh yang menyebabkan sebahagian dinding sebuah sekolah antarabangsa di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) runtuh.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan bahawa seramai 15 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba TTDI dan Sri Hartamas telah dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.18 pagi.

Komander operasi, Azkhan Hamdan, berkata pasukannya menjalankan penilaian awal keselamatan sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan kepada dua buah kenderaan dan beberapa bahagian bangunan sekolah, termasuk bilik darjah, bilik guru, tandas dan perpustakaan,” katanya seperti dipetik oleh Berita Harian.

Tiada kecederaan dilaporkan. Kes tersebut telah diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan lanjut.

Kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Sri Petaling dan Cheras, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan di kedua-dua lokasi tersebut.

“Operasi masih dijalankan di kedua-dua lokasi dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” kata Azkhan.

Artikel Berkaitan

Back to top button