Tangisan ‘lelaki rambut perang’ sanggup berkorban harta demi sokong Harimau Malaya
Lelaki itu menangis ketika Harimau Malaya menjaringkan gol ketiga menentang Korea Selatan pada semalam.
KUALA LUMPUR 26 Jan. – Mereka yang menonton perlawanan Harimau Malaya menentang Korea Selatan pasti terlihat seorang penyokong yang berambut perang.
Menerusi perlawanan perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 itu, lelaki berambut perang itu menitiskan air mata ketika Harimau Malaya menjaringkan gol ketiga.
Reaksi lelaki itu juga tular di media sosial dan rupanya, ada kisah disebalik tangisan lelaki berambut perang itu.
Berdasarkan carian di media sosial, lelaki itu dikenali sebagai Derrick Gan dan sebelum ke Qatar, dia menjual motosikalnya untuk turun menyokong Harimau Malaya.
“Mencari dana ke Qatar. Malaysia Road to Asia. Tumpang lalu adik nak lepaskan motor demi negara tercinta.
“Kejohanan besar pertama dalam sejarah Malaysia. Ada sesiapa sudi tolong tak?” katanya dalam hantaran Facebook yang dibuat pada 28 Disember lalu.
Skuad kendalian Kim Pan-gon itu terlebih dahulu ketinggalan menerusi tandukan Jeong Woo-yeong pada minit ke-22 sebelum Mohamad Faisal Abdul Halim menyamakan kedudukan pada minit ke-51 dan Arif Aiman Mohd Hanapi meletakkan negara di depan enam minit kemudian.
Korea bangkit dengan dua gol menerusi Lee Kang-in sebelum mendahului menerusi sepakan penalti bintang Totteham Hotspur, Son Heung-min.
Namun, penyerang naturalisasi negara, Romel Morales memastikan penampilan Malaysia di Piala Asia diingati menerusi gol penyamaan pada masa kecederaan. — Xklusif