Berita

Tarif air Melaka naik 16 sen setiap meter padu

Melaka menjadi negeri keempat terendah di negara ini dengan purata kenaikan tarif kategori domestik

AYER KEROH 24 Jan – Kerajaan negeri mengumumkan purata kenaikan tarif air bagi kategori domestik di Melaka yang akan berkuat kuasa pada 1 Februari ini adalah 16 sen bagi setiap meter padu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kenaikan itu sekali gus menyenaraikan Melaka sebagai negeri keempat terendah di negara ini dengan purata kenaikan tarif kategori domestik di Semenanjung adalah 22 sen bagi setiap meter padu.

Beliau berkata, susulan pelarasan itu, kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SMAB) memutuskan bahawa caj minimum untuk kategori domestik kediaman dinaikkan daripada RM6 kepada RM8.70 manakala tarif di bawah 20 meter padu meningkat daripada 60 sen kepada 87 sen bagi setiap meter padu.

Kata beliau, bagi penggunaan antara 21 hingga 35 meter padu, caj dinaikkan kepada RM1.52 berbanding 95 sen bagi setiap meter padu manakala penggunaan melebihi 35 meter padu naik daripada RM1.45 kepada RM2.02.

“Caj minimum untuk kategori domestik meter pukal perumahan pula kekal RM25, namun tarif air naik daripada RM1.80 kepada RM2.07 bagi setiap meter padu. Tarif terbaharu itu sudah termasuk 7 sen caj elektrik per meter padu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, menerusi tarif baharu berkenaan, kira-kira 150,000 pengguna akaun domestik atau 51 peratus pengguna berhemah tidak akan terjejas secara signifikan walaupun pun tarif air dinaikkan 27 sen bagi setiap meter padu.

Katanya, ini kerana peningkatan bil adalah minimum iaitu antara RM2.70 hingga RM5.40 sebulan.

Beliau berkata, kira-kira 81,000 pengguna akaun domestik atau 27 peratus pengguna biasa pula dijangka mengalami kebaikan bil air bulanan secara purata sehingga RM13.95 sebulan, manakala 66,000 akaun atau 22 peratus lagi akan menerima kenaikan bil air yang lebih tinggi disebabkan konsep tarif punitif yang diguna pakai bagi menggalakkan penjimatan penggunaan air.

“Kali terakhir pelarasan tarif domestik dilaksanakan di Melaka adalah pada April 2011 iaitu 13 tahun lalu dan bermula 1 Februari tahun ini, bermulalah pelarasan tarif baharu bersama dengan caj elektrik sebanyak 7 sen setiap meter padu kepada semua kategori pengguna membabitkan 297,000 akaun pengguna domestik dan 46,000 akaun pengguna bukan domestik.

“Hal ini adalah bagi membolehkan SAMB mengatasi perubahan kos elektrik disebabkan oleh surcaj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Justeru, Ab Rauf yang juga Pengerusi SAMB berkata, kerajaan negeri mahu pendapatan tambahan menerusi pelarasan tarif kali ini akan digunakan sebaiknya oleh SAMB bagi membiayai projek menaik taraf dan penambahbaikan sistem perkhidmatan bekalan air di negeri ini.

“Saya berharap, pelarasan tarif baharu air ini akan menjadikan kerajaan negeri dan SAMB lebih komited memastikan sistem bekalan air di Melaka tidak mengganggu perancangan pembangunan negeri, khususnya membabitkan sektor pelancongan dan pelaburan,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button