Berita

TDM sahkan helikopter Agusta mendarat cemas, tiga anggota cedera

TIGA anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cedera selepas helikopter jenis M81-11 (Agusta A109 LOH) yang dinaiki terpaksa melakukan pendaratan cemas di Landasan Terbang Kluang, Kem Mahkota Kluang pada pukul 1.35 pagi tadi.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut berlaku semasa helikopter Agusta itu digunakan untuk sesi Latihan Penerbangan Malam, Kursus Asas Penerbangan Tentera.

Menurut TDM, insiden berkenaan melibatkan seorang jurulatih helikopter; seorang penuntut kursus dan seorang kru kuatermaster.

Jelasnya, kesemua kru yang terlibat mengalami kecederaan tetapi berada dalam keadaan sedar.

“Hasil awal pemeriksaan perubatan telah mengenal pasti beberapa kecederaan yang dialami oleh pegawai dan anggota seperti patah tulang belakang dan luka-luka di beberapa bahagian anggota badan serta lain-lain kecederaan yang masih belum dikenal pasti.

“Kesemua anak kapal dalam keadaan stabil dan telah dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, TDM telah menghentikan penerbangan pesawat Agusta tersebut buat sementara waktu bagi tujuan pemeriksaan.

Pada masa sama, satu lembaga siasatan juga akan bersidang bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Ratifikasi dan one-time inspection akan dilakukan untuk mengembalikan status terbang pesawat dengan segera.

“TDM juga memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan mendoakan agar kesemua anak kapal diberikan kesembuhan,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button