Berita

Telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini ditemui dalam parit

Telefon bimbit dipercayai milik Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, telah ditemukan dalam sebuah parit di Kampung Sri Kledang, di sini, hari ini.

Difahamkan bahan bukti itu ditemui kira-kira jam 12.20 tengah hari selepas satu jam operasi pencarian dilakukan Unit Skuba (Unit Forensik) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dibantu pihak bomba.

Turut difahamkan, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan akan ke lokasi kejadian pada jam 1 tengah hari.

Terdahulu, suspek lelaki berusia 26 tahun itu dilihat dibawa ke lokasi kejadian dipercayai bagi membantu pihak berkuasa dalam usaha mengesan barang bukti yang berada di sebuah parit di lokasi kejadian.

Suspek yang juga anggota polis di sebuah balai di Perak dilihat berpakaian baju lokap berwarna oren lengkap bergari selain dikawal ketat beberapa anggota polis ke lokasi pencarian kira-kira jam 11.40 pagi.

Kira-kira lima minit kemudian, suspek dibawa semula ke kenderaan polis jenis Proton Preve dan operasi mencari bahan bukti diteruskan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai, ditemui Isnin lalu dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

11 Julai lalu, mangsa berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan hilang susulan satu laporan polis bersangkut kes Tanjung Malim, Perak, selepas dikatakan menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim pada sehari sebelum.

Artikel Berkaitan

Back to top button