Berita

Teman lelaki didakwa bunuh Bella

Tertuduh berusia 25 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Teman lelaki Mila Sharmilah Samsusah atau dikenali sebagai Bella, didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor atas pertuduhan membunuh wanita itu di Tongkang Pechah, Disember tahun lalu.

Tertuduh Mohammad Haikal Mahfuz, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norasidah A Rahman, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Haikal yang bekerja sebagai posmen didakwa membunuh Bella,32, antara 11 malam 14 Dis hingga 5.30 pagi, 15 Dis 2023 di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar, dan juga di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid, manakala tertuduh diwakili peguam Syahril Anuar.

Mahkamah menetapkan 19 Feb untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Terdahulu, selain keluarga tertuduh, ahli keluarga Bella turut hadir di mahkamah seawal kira-kira 7.45 pagi bagi mendengar prosiding itu.

Pada Jumaat lalu, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, selepas di pandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan ibu tunggal anak dua itu.

Pada 14 Dis tahun lalu, Bella dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran dan gagal dihubungi sejak itu. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button