Politik

Terengganu cipta sejarah tiada pembangkang, bakal wujud ‘backbencher’

Terengganu sapu bersih semua 32 kerusi DUN dalam PRN semalam

MARANG 13 Ogos – Terengganu akan mewujudkan ahli backbencher (penyokong) yang akan berperanan menegur setiap kepincangan serta bertindak sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.

Menteri Besar sementara Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu akan diambil kerana tiada wakil daripada Barisan Nasional (BN) dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung semalam.

“Saya rasa kita kena lihat dari aspek yang positif dan sudah tentunya kerajaan akan mewujudkan backbancher iaitu penyokong kerajaan yang secara tersusun dapat mengkritik dan memberi teguran serta memberikan cadangan kepada kerajaan.

“Mereka diumpamakan sebagai pembangkang juga, namun berperanan secara lebih positif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan PRN Terengganu dan PRK Kuala Terengganu di Dewan Tok Guru, di Rusila, di sini, malam semalam.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud fenomena ‘tidak sihat’ dalam pentadbiran kerajaan Terengganu setelah tiada seorang calon BN menang dalam pilihan raya itu.

Dalam perkembangan sama, katanya, barisan Exco yang akan dilantik juga akan distruktur semula termasuk melantik dalam kalangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Itu (barisan Exco) masih dalam pertimbangan dan kita kena teliti pelbagai perkara kerana kita sekarang menjadi sebuah parti muafakat politik dalam Perikatan Nasional (PN).

“Jadi tentulah ada pertimbangan-pertimbangan dan penambahbaikan dalam portfolio-portfolio yang perlu diharmonikan.

“Kita akan ambil masa untuk teliti semula kedudukan portfolio-portfolio ini,” ujar beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan menteri besar dan pembentukan kerajaan baharu, katanya, ia dijangka diselesaikan dalam tempoh seminggu.

“Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) akan mulakan proses itu untuk bawa surat daripada Pas utlntuk dipersembahkan kepada Tuanku (Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin) tentang cadangan yang sepatutnya. Tarikh tepat angkat sumpah adalah tertakluk kepada istana.

“Namun kita jangka boleh membentuk kabinet (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dalam tempoh seminggu,” katanya.

PRN Terengganu dan PRK Kuala Terengganu yang berlangsung pada Sabtu mencipta sejarah selepas semua calon PN memenangi kesemua 32 kerusi DUN yang ditandingi termasuk satu kerusi Parlimen. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button