Berita

Terima setong minyak zaitun, saya pun bayar cukai RM500 – Anwar

Minyak Zaitun itu diberikan oleh seorang sahabat lamanya berbangsa Arab.

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Walaupun memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melaksanakan tanggungjawab membayar cukai RM500 kerana menerima setong minyak zaitun daripada rakannya, tahun lalu.

Anwar menceritakan pengalaman dikenakan cukai itu selepas beberapa bulan dilantik sebagai Perdana Menteri dan turut membayar kerana mahu menunjukkan contoh yang baik buat rakyat.

Atas dasar itu, katanya, beliau mahu rakyat turut menjalankan tanggungjawab membayar cukai kepada pihak berkuasa.

“Tahun lalu selepas beberapa bulan jadi Perdana Menteri, sahabat lama saya yang berbangsa Arab, setiap tahun memang beliau bagi saya setong minyak zaitun dan saya bagi pada keluarga dan rakan.

“JKDM Klang mengenakan cukai RM500 kepada saya, saya bukan berniaga tetapi saya tidak mahu merayu.

“Perdana Menteri pun kena bayar cukai, orang lain jadi Perdana Menteri, beli barang ratusan juta tidak mahu bayar cukai tetapi saya bayar kerana mahu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

“Oleh itu, rakyat jangan culas,” katanya berucap pada Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-42 di sini, hari ini. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button