Politik

Tewas pada PRU14, BN tak salahkan rakyat – Mahdzir

JERLUN, Nov 13 — Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak pernah menyalahkan pengundi kerana menolak gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu .

Beliau mendakwa pengundi memilih Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 kerana janji-janji mereka namun janji tersebut tidak dapat dilaksanakan.

“Ketika itu, pengundi sanggup pulang ke kampung dan mengundi PH kerana kebanyakan mereka terpedaya dengan segala janji besar yang ditabur oleh PH dalam manifesto.

“Pengundi tidak bersalah dalam hal ini kerana selepas menjadi kerajaan pun PH tidak dapat melaksanakan apa-apa janji yang dibuat dalam manifesto mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS di Alor Biak, Ayer Hitam, di sini hari ini.

Mahdzir yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap berkata kali ini PH dilihat cuba sekali lagi hendak mendapatkan sokongan rakyat dan meminta diberi peluang untuk menunaikan janji mereka.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya memilih parti yang menawarkan manifesto lebih praktikal dan digubal berdasarkan realiti semasa sebelum memilih wakil rakyat pada PRU15, 19 November ini.

“Pada PRU14, rakyat pun turut merasai kesan apabila PH dipilih menerajui negara kerana janji tidak ditepati.

“Jadi untuk PRU15 ini saya mengharapkan pengundi-pengundi yang akan mengundi pada hujung minggu nanti supaya tidak lagi terpedaya dengan apa yang disebutkan okeh PH kerana mereka dah janji, mereka buat janji itu tapi mereka tidak laksanakan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

Back to top button