Berita

Tiada aduan pekerja diberhentikan ekoran kempen boikot

KSM akan menyiasat lebih mendalam jika menerima aduan daripada pekerja yang terjejas dengan kempen boikot.

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Kementerian Sumber Manusia (KSM) setakat ini tidak menerima sebarang aduan dan laporan berhubung pemberhentian kerja susulan kempen boikot yang digerakkan rakyat negara ini terhadap syarikat dan produk berkaitan Israel.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, kementerian akan menyiasat lebih mendalam sekiranya menerima aduan daripada pekerja yang terjejas susulan kempen boikot itu.

“Setakat ini KSM tidak terima laporan berkaitan dengan pembuangan kerja dan sebagainya. Jika ada, kementerian ada akan melihat isu ini, namun setakat ini tidak ada.

“Kalau ada aduan kita akan tengok. (Memandangkan sekarang) tiada aduan maka saya tak boleh komen,” katanya kepada pemberita sempena majlis sambutan Deepavali Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Hotel Impiana, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sebelum ini, media melaporkan kempen boikot produk dan syarikat yang berkaitan dengan Israel susulan kekejaman rejim itu terhadap rakyat negara Palestin memberi kesan kepada pendapatan pekerja tempatan dengan ada antara mereka didakwa diberhentikan kerja susulan pendapatan syarikat jatuh mendadak.

Dalam majlis hari ini juga, tiga mesin hemodialisis didermakan kepada Pusat Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF); Yayasan Dialisis Pendidikan Akhlak Perak; dan Persatuan Meningkat Akhlak Woh Peng Cheang Seah; selain daripada penyerahan duit raya kepada anak yatim piatu, ibu tunggal; selain bantuan kepada sembilan badan kebajikan sekitar sini.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata sebanyak 1,771 mesin hemodialisis didermakan oleh PERKESO kepada pusat dialisis panel pertubuhan itu sejak tahun 1998 yang setakat Oktober lalu membabitkan perbelanjaan RM46.84 juta.

Sivakumar berkata, pihaknya cakna bahawa kapasiti mesin hemodialisis yang ditempatkan di pusat dialisis panel PERKESO ketika ini tidak dapat menampung keseluruhan keperluan rawatan, berikutan jumlah pesakit buah pinggang di Malaysia yang direkodkan dalam tempoh 10 tahun lalu adalah antara yang tertinggi di dunia.

“Jika tidak silap saya, lebih 9,000 individu dikenal pasti menghidapi penyakit buah pinggang setiap tahun dan sejumlah besar terpaksa ditanggung oleh kerajaan bagi membiayai pesakit terbabit, dengan anggaran antara RM300 juta ke RM350 juta dibelanjakan kerajaan setahun,” katanya. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button