BeritaEkonomi

Tiada kenaikan harga 5% di restoran mamak, kata Presma

Restoran mamak, termasuk di Johor, tidak akan melaksanakan cadangan kenaikan harga sebanyak 5% tahun depan, kata Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Presidennya, Jawahar Ali Taib Khan, menyatakan demikian selepas pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini.

Beliau berkata laporan media sebelum ini yang memetik setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Johor, Hussein Ibrahim, telah tersalah memetik beliau, menyebabkan salah faham.

“Dalam perbincangan kami dengan kementerian, kami mengesahkan bahawa restoran mamak di Johor dan negeri-negeri lain tidak akan menaikkan harga dalam masa terdekat.

“Laporan (asal) mungkin tersasar kerana panggilan telefon (dengan Hussein yang dipetik) dibuat ketika beliau sedang memandu. Beliau juga bukan pemilik restoran, tetapi berkhidmat sebagai setiausaha persatuan,” katanya kepada FMT.

Jawahar berkata pertemuan dengan timbalan ketua penguatkuasa kementerian (operasi), Shamsul Nizam Khalil, berlangsung selama 30 minit dan turut dihadiri oleh peguam Presma, Habizan Habeeb Rahman, dan bendahari Persatuan Usahawan India Muslim Johor, Ajim Nasir Khan.

Terdahulu, dilaporkan bahawa sekitar 300 pemilik restoran mamak di Johor dijangka melaksanakan kenaikan harga minimum 5% untuk makanan mulai tahun depan berikutan peningkatan kos operasi.

Hussein dilaporkan menyatakan kenaikan harga itu disebabkan oleh kos bahan mentah yang meningkat dan kadar gaji minimum RM1,700 yang akan berkuat kuasa pada Februari depan.

Semalam, menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, Armizan Mohd Ali, berkata notis untuk memanggil persatuan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 untuk menjelaskan cadangan kenaikan harga.

Sementara itu, Jawahar berkata Presma tidak akan bersekongkol dengan mana-mana restoran di bawah persatuan untuk menaikkan harga atau menggunakan kenaikan gaji minimum sebagai alasan untuk menaikkan harga.

Hussein enggan memberi komen lanjut mengenai isu tersebut.

Artikel Berkaitan

Back to top button