Tiada keperluan rombak kabinet – Anwar
Anwar berkata, ketika ini hanya ada satu kekosongan jawatan perlu diisi.

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Rombakan Kabinet disifatkan bukan perkara mendesak ketika ini kerana hanya satu kekosongan jawatan yang perlu diisi.
Kekosongan itu melibatkan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan tidak menolak kemungkinan perkara itu akan dibincangkan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.
“(Pertemuan dengan) Yang di-Pertuan Agong ini, saya memang (adakan) mingguan (menghadap).
“(Rombakan kabinet?) mungkin la, mungkin saya terfikir. Tak mendesak sangat sebab yang kosong (hanya) satu,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Beliau berkata demikian ditemui media selepas melancarkan Sambutan Ulangtahun ke-60 Lembaga Tabung Haji di Menara TH pada Jumaat.
Rabu lalu, Perdana Menteri memaklumkan beliau akan memikirkan terlebih dahulu berkaitan isu rombakan Kabinet.
“Saya fikir dahulu,” katanya ringkas kepada pemberita bagi menjawab desas-desus kemungkinan berlaku rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan beliau.
Sebelum itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Media sebelum ini melaporkan Anwar bersedia membuat rombakan dalam masa terdekat, antaranya melibatkan Kabinet, Ketua Setiausaha (KSU), anggota birokrasi, kakitangan awam, dan pejabatnya sendiri.
Desas-desus rombakan Kabinet timbul susulan kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kerana kematian Salahuddin. — Xklusif