Berita

Tiada pegawai SPRM ditempatkan di MITRA

Perkara itu disahkan SPRM dalam satu kenyataan pada Ahad.

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditempatkan di Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), ketika ini.

Perkara itu disahkan oleh SPRM dalam satu kenyataan hari ini, yang turut berkata siasatan isu penyelewengan dana MITRA itu juga sudah diselesaikan sejak 2019 ke 2021.

Malah, pegawai SPRM juga dilarang terbabit dalam mana-mana mesyuarat lembaga, jawatankuasa atau urus setia berkaitan perolehan di agensi luar mengikut 1Pekeliling Perbendaharaan (1PP).

“Mengenai laporan dua akhbar tempatan bertajuk ‘MACC stations officer at MITRA for greater transparency’ dan ‘MACC Officers to join MITRA meeting’ SPRM, semalam, agensi itu mahu memperjelas dan memperbetulkan fakta yang berkemungkinan akan mengelirukan umum,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 2019, SPRM mengumumkan siasatan terhadap geran peruntukan MITRA yang diberikan kepada 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak 2019 hingga 2021 membabitkan peruntukan kira-kira RM203 juta.

Siasatan SPRM berhubung pengurusan dana agensi berkenaan dilakukan dalam dua fasa, dengan fasa satu terarah kepada kira-kira 27 syarikat, persatuan dan NGO yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Fasa kedua siasatan pula akan dijalankan menerusi kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara, menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi memperhalusi kesahihan penggunaan geran MITRA, membabitkan peruntukan kurang daripada RM1 juta.

Kata SPRM, selain siasatan sudah selesai, SPRM juga berjaya mendapat pendakwaan terhadap 12 kes dengan 10 kes masih dibicarakan di mahkamah manakala dua kes tertuduh sudah mengaku salah.

Mengulas lanjut, SPRM berkata, pihaknya sudah menyerahkan laporan pengukuhan tata kelola pengurusan dana MITRA kepada Kementerian Perpaduan Negara pada Februari, tahun lalu.

Laporan berkaitan langkah pencegahan untuk menutup sebarang ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan adalah antara tindakan yang dijalankan agensi itu, susulan siasatan yang dijalankan SPRM, terhadap agensi itu beberapa tahun lalu.

“Hasil dapatan siasatan, SPRM juga sudah mengambil tindakan mengkaji tata kelola pengurusan dana MITRA untuk tujuan mengukuhkan tatacara dan ketelusan pengagihan dana MITRA kepada masyarakat India di negara ini.

“Untuk makluman, Akta SPRM 2009 memperkasakan SPRM bukan hanya untuk menyiasat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa malah tindakan pencegahan dalam memastikan kesalahan yang sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button