Tiada Penolakan Senyap UMNO Gerik Terhadap Asyraf Wajdi – Saarani

TAPAH, Nov 13 – – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menolak dakwaan terdapat penolakan senyap oleh parti terhadap calon Parlimen Gerik, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, kerusi itu mungkin dianggap ‘kelabu’ sebelum penamaan calon kerana kerusi itu ditandingi Asyraf Wajdi yang bukan orang tempatan.
Beliau berkata bagaimanapun kerusi parlimen Gerik kembali menjadi ‘putih’ dan Ketua Pemuda UMNO itu kini sudah diterima oleh pengundi dan UMNO Bahagian Gerik.
“Dulu mungkin sebab adanya sedikit kekecohan kerana calon yang dibawa (Asyraf Wajdi) orang luar tapi itu ketika sebelum penamaan calon. Tapi kekecohan itu sudah berjaya ditangani.
“Saya percaya sebelum ini orang kata ia ‘kelabu’ (peluang menang 50-50) kerana ada kekecohan tapi sekarang saya percaya ia sudah ‘putih'(kerusi yakin menang),” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Balai Desa Semai, Kampung Orang Asli Sungai Lah, Chendriang, di sini, hari ini.
Saarani mengulas kenyataan veteran Umno Nazri Aziz yang meramalkan parlimen Gerik sebagai kerusi ‘kelabu’ kerana Asyraf Wajdi menerima tentangan daripada ahli Umno kawasan berkenaan.
Asyraf Wajdi akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH) Tarmizi Mohd Jam dan calon Perikatan Nasional (PN) Fathul Uzir Ayob dalam usaha mempertahankan kubu kuat Umno itu.
Tambah Saarani, beliau yakin perkara itu sudah selesai memandangkan beliau sendiri turun padang ke Kampung Jong (Parlimen Gerik) untuk memberi sumbangan dan berkempen serta sempat menyelami masyarakat di situ untuk melihat kemungkinan penolakan senyap atau ‘silent protest’ terhadap Asyraf Wajdi.
“Namun daripada cara masyarakat Gerik dan jentera BN bersama-sama turun padang untuk memastikan BN memperoleh kemenangan, tiada sebarang penolakan atau masalah terhadap calon Parlimen Gerik,” katanya.