Pemberi maklumat tidak boleh mengharapkan perlindungan jika mereka terlibat dalam kes rasuah, terutama dalam kes yang melibatkan lapan ADUN, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi ruang untuk menyiasat.
“Berikan ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas semua kesnya, termasuk kes rasuah melibatkan lapan ADUN,” lapor Astro Awani memetik katanya di Kaherah, Mesir.
Anwar menegaskan bahawa dasar kerajaannya jelas, iaitu perlindungan hanya diberikan kepada mereka yang bersih dan tidak terlibat dalam elemen rasuah.
“Jadi jika maklumat yang diberikan menunjukkan keterlibatan pemberi maklumat dalam rasuah, ia mesti disiasat dan perlindungan tidak boleh diberikan serta-merta,” katanya.
Anwar berkata beliau belum menerima sebarang surat daripada mana-mana individu yang meminta perlindungan, kerana beliau masih berada di Mesir.
Jumaat lalu, seorang pegawai kanan SPRM dilaporkan bertemu dengan seorang peguam yang memainkan rakaman audio selama 17 saat, di mana beberapa individu kedengaran membincangkan perkara berkaitan wang.
Ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dilaporkan berkata bahawa peguam tersebut menyatakan kliennya bersedia untuk memberikan bukti, tetapi mahu SPRM menandatangani perjanjian yang menyatakan bahawa kliennya tidak akan disiasat.
Bagaimanapun, pegawai SPRM tidak bersetuju kerana itu bukan sebahagian daripada proses undang-undang.
Azam berkata SPRM tidak boleh memberikan jaminan bertulis tentang kekebalan tanpa maklumat terperinci mengenai kesalahan yang dimaksudkan.
Beliau berkata saksi tersebut digesa membuat laporan rasmi, membolehkannya dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.