Berita

Tiada petunjuk baru, polis masih siasat kes bunuh Zayn Rayyan

Kes ini tidak diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini

KUALA LUMPUR 2 Jan – Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memberi jaminan siasatan terhadap kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak akan dihentikan meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.

“Kes ini tidak diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.

“Siasatan masih diteruskan bagi mencari petunjuk dalam menyelesaikan kes ini,” katanya kepada Bernama.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilapor hilang pada 5 Dis tahun lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200m dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dan masih menunggu maklum balas berkaitan semakan pangkalan data bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autistik itu. – Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button