Politik

Tiada rundingan dengan MIC sebelum Mitra diletak bawah Kementerian Perpaduan

Tiada mana-mana pemimpin dirujuk kecuali Pakatan Harapan (PH) selain tiada usaha untuk melihat keperluan memindahkan agensi itu

KUALA LUMPUR 25 Dis – MIC mendakwa parti itu tidak diajak berunding sebelum kerajaan meletakkan semula Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) di bawah Kementerian Perpaduan Negara, sedangkan sebelum ini ia diselia Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Penerangan MIC, R. Thinalan berkata, tiada mana-mana pemimpin dirujuk kecuali Pakatan Harapan (PH) selain tiada usaha untuk melihat keperluan memindahkan agensi itu.

Katanya, MIC tidak membangkitkan isu tersebut semata-mata memandang rendah keupayaan Menteri atau Timbalan Menteri Perpaduan, namun negara telah menyaksikan bagaimana keadaan bertukar menjadi ‘bencana’ sebelum ini.

“Bagaimana orang India boleh percaya kepada sistem dan pemimpin jika kesilapan sama berulang? Langkah ini tidak akan mengambil pendekatan semua masyarakat dan akan dilihat dengan jelas sebagai pendekatan untuk melindungi kumpulan tertentu demi agenda peribadi.

“Adalah penting bagi Mitra kekal di bawah pemantauan Perdana Menteri supaya masyarakat India dapat manfaat menyeluruh tanpa sebarang tekanan politik serta isu lain.

“Jika Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) mampu kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri dan telah berjaya, mengapa kita tidak mendoakan perkara sama untuk Mitra? ” soalnya dalam kenyataan semalam.

Katanya, kemungkinan isu dana Mitra yang tidak disalur terus kepada kumpulan atau individu memerlukan akan mengecil jika di kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Difahamkan sebahagian besar dana Mitra tidak disalur terus kepada kumpulan dan individu terjejas. Pengeluaran tidak langsung ini hanya menguntungkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Inilah sebab mengapa dana dimaksudkan untuk masyarakat telah disalah guna untuk keuntungan pengarah organisasi dan kemungkinan sedemikian akan mengecil jika ia dibenar kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilaporkan berkata, Mitra akan diletak semula di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan memberi jaminan sentiasa memantau agensi itu dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Katanya, masyarakat India tidak perlu bimbang mengenai pentadbiran Mitra yang diletak di kementerian berlainan kerana peraturan ditetapkan, peruntukan diluluskan dan unit itu masih tertakluk kepada syarat-syarat ketat bagi mengelakkan berlaku lagi salah guna kuasa atau penyelewengan.

Mitra pada mulanya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) dan dilancar pada 2013 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sedic dibubar apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kemudian dihidupkan semula sebagai Mitra di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan diselia Kementerian Perpaduan Negara. Bagaimanapun, pada September 2022, ia telah dipindah di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.

Ia pada asalnya dilancar dengan tujuan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Pada awal 2021, isu dana Mitra menjadi tumpuan berikutan penahanan beberapa pengarah syarikat disyaki terlibat dalam penyelewengan geran yang diperuntukkan kepada unit itu.

Sebanyak 337 syarikat, organisasi dan NGO dikenal pasti telah menerima geran daripada Mitra antara 2019 dan 2021 dengan jumlah dianggarkan kira-kira RM203 juta.

Pada 25 November lalu, Mitra menerima pemakluman rasmi penarafan berisiko ‘rendah’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tahun 2023 dalam pengurusannya yang sebelum ini terpalit dengan isu penyelewengan.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra, Datuk R. Ramanan semalam memberitahu, Mitra mencapai sasaran dan matlamat sepenuhnya yang ditetapkan sepanjang tahun ini. – UTUSAN

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button