Berita

Tiga beranak maut kereta bertembung treler di Kuantan

Hasil siasatan awal dan keterangan saksi bebas mendapati bahawa kereta itu dipercayai tiba-tiba hilang kawalan semasa melalui selekoh di lokasi kejadian

KUANTAN 15 Dis – Seorang wanita dan dua kanak-kanak lelaki maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan treler pengangkut kenderaan di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta berhampiran Taman Jelai dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 2.25 pagi berlaku apabila kereta jenis Perodua Alza dipandu wanita berusia 34 tahun bersama seorang anak lelakinya berusia 10 tahun dan anak angkat lelaki berusia tiga tahun dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.

“Hasil siasatan awal dan keterangan saksi bebas mendapati bahawa kereta itu dipercayai tiba-tiba hilang kawalan semasa melalui selekoh di lokasi kejadian dan masuk ke laluan bertentangan,” katanya.

Kereta tersebut kemudian bertembung dengan sebuah treler pengangkut kenderaan yang tidak membawa muatan dan diseret sehingga merempuh besi penghadang jalan.

Akibat nahas tersebut, pemandu kereta yang juga merupakan isteri kepada seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Nor Faizah Ridzuan, 34, maut di tempat kejadian bersama dua anaknya, Muhammad Hariz Adrian Mohd Azman, 10,  dan Muhamad Hafiy Azman Abdullah, 3.

Pemandu lori treler terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Xklusif 

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button