Berita

Tiga kali edit poster, warganet ‘hentam’ FB JKOM muatnaik harga barang dapur kurang RM500 sebulan

Perkara itu dianggap warganet sebagai menegakkan benang yang basah.

KUALA LUMPUR 13 Julai – Seolah menegakkan benang yang basah. Itu perumpamaan yang layak diberi kepada Jabatan Komunikasi Komunitu (JKOM) yang memuatnaik poster anggaran belanja dapur untuk sebulan bagi rakyat berkeluarga dan bujang bawah RM500.

Poster berkenaan turut mempersoalkan suara rakyat yang mengeluh belanja dapur meningkat dari RM200 hingga RM500 sehingga mengakibatkan laman Facebook JKOM dihujani pelbagai kecaman.

Dalam poster berkenaan, kapsyen yang ditulis juga merujuk kepada simulasi anggaran belanja dapur untuk satu bulan.

“Simulasi ini menggambarkan contoh belanja dapur keluarga dengan isi rumah seramai empat orang dan juga bagi individu bujang.

“Barang yang diambil kira adalah merupakan barang dapur asas yang lazimnya digunakan kebanyakkan orang.

“Untuk perhatian, ini adalah contoh pengiraan berangan kawalan dan subsidi kerajaan sahaja, tidak termasuk barangan lain,” tulis kasyen poster berkenaan.

Barangan asas yang dipilih adalah ayam, beras, minyak masak, telur ayam, roti putih dan gas dapur.

Bagi belanja keluarga adalah sebanyak RM397.80 manakala bagi individu bujang adalah RM234.60 sebulan.

Bukan itu saja, seolah tidak mengenali warganet Malaysia yang peka dengan setiap hantaran yang dibuat, JKOM dikatakan ‘kantoi’ apabila cuba merendahkan harga tong gas yang sebenarnya berharga RM25.80 kepada RM19 dan poster itu disunting sebanyak tiga kali selepas mendapat kecaman warganet.

Tinjauan Xklusif mendapati rata-rata warganet ‘membahan’ JKOM atas keprihatinan yang tidak diperlukan itu dan menguatkan lagi dakwaan bahaya harga barangan semakin naik.

“Sabun mandi, sabun basuh dan lain-lain tak masuk pun? Kot ye la barang dapur. Makanan yg disenaraikan pun tak cukup zat. Sayur? Ikan? Hari-hari makan telur dan ayam je ? Macam jarang masuk dapur je? Harga tu dapat senarai barangan dari mana eh?,” soal Malissa Mohsen.

“Kami pun pandai kalau nak membeli. Tambah lagi barang keperluan harian.Tak payah nak ajar la suruh berhemat bagai. Kalau nak rasa apa yang rakyat rasa, guna bajet tu tolong pi beli barang. Kita tengok apa cerita pula. Yang kami nak, harga barang tu turun, modal rakyat biasa ni ciput ja. Nak pula orang motong. Sekerap 4 kg tak boleh ikan sekilo lagi. Tu baru ikan temenung bukan ikan spesis kayangan,” kata Teratak Bayu.

“Bawang, ikan bilis, lada kering, kicap, sos cili, sos tiram, tepung, gula, teh, kopi, cukup rasa, garam, lada itam, rempah kari semua ni dpt free eh…tanye jek,” kata Normala Omar.

“Cukuplah tiga kali edit JKOM oi. Saya tunjuk harga ni kat orang kedai, mereka suruh saya buka kilang sendiri. Kedai runcit pun boleh lingkup kalau guna harga JKOM ni,” kata Rashdan Adzim.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan berhubung kenaikan melampau harga barang di pasaran.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, harga barang pada masa ini masih terkawal dan inflasi berada pada kadar lebih rendah.

“Kadar inflasi mereda dan jika dilihat pada bulan Mei indeks harga pengguna mencatatkan 2.8 peratus berbanding 3.3 peratus pada April,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button