Berita

Tiga Muslimat PAS maut kemalangan jalan raya di Behrang

Kemalangan tersebut berlaku di Behrang ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Muktamar di IDCC Shah Alam

SHAH ALAM 20 Okt – Perwakilan dan pemerhati yang menghadiri Muktamar PAS di Shah Alam hari ini dikejutkan dengan berita tiga Muslimat PAS Sungai Petani meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Pengerusi Tetap Muktamar, Senator Hussin Ismail memaklumkan kemalangan tersebut berlaku di Behrang ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Muktamar di IDCC Shah Alam.

“Mereka melihat sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan dan kemudian berhenti di tepi lebuh raya untuk membantu.

“Bagaimanapun ketika mereka cuba membantu, tiba-tiba dilanggar sebuah kereta lain,” katanya.

Menurutnya dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi yang parah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

“Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Ustazah Taibah Sulaiman dan Ketua Ameerah PAS Sungai Petani, Nor Fatihah Nabilah Bukri.

“Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Najihah Amzi, meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke hospital,” ujarnya.

Mereka menghadiri Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia di IDCC, semalam.

Berikutan itu, Hussin mengajak perwakilan dan pemerhati membaca al-Fatihah dan mendoakan roh ketiga-tiga mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button