Politik

Timbalan Presiden PAS bakal jadi MB Pahang – Muhyiddin

Muhyiddin memberi bayangan itu jika PN dapat membentuk kerajaan negeri.

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bakal dilantik sebagai Menteri Besar Pahang yang baharu jika Perikatan Nasional (PN) mempunyai cukup sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi PN itu berkata, semasa menghadiri program di Jelebu, beliau ada ditanya wartawan mengenai spekulasi empat wakil rakyat kerajaan Pahang bakal menyertai PN jika gabungan itu menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai di Bentong.

Sebagai reaksi kepada soalan itu, beliau memaklumkan PN mengamalkan sikap terbuka sekiranya ada wakil rakyat yang ingin menyertai gabungan berkenaan.

“Kalau begitu keadaaannya esok terbentuk kerajaan Perikatan Nasional di Pahang. Menteri Besar sudah ada di sini, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Saya Pengerusi PN mengatasi Presiden Pas untuk mengumumkan perkara ini. Dah tersedia dah, beliau ahli parlimen dan ADUN di sini (Pahang) memang layak orangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada ceramah PN di DUN Pelangai di Bentong Selasa malam.

Pada PRU-15, DUN Pahang tergantung selepas keputusan pilihan raya menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Keputusan PRU-15 menyaksikan PN menang 17 kerusi DUN diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 17 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) menang lapan kerusi.

BN dan PH kemudiannya membentuk kerajaan gabungan di Pahang yang diperkenankan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button