Berita

Tindakan tegas buat majikan aniaya pembantu rumah

Perkara itu ditegaskan Ketua Pengarah Imigresen dalam kenyataan pada Isnin.

KUALA LUMPUR 13 Nov. Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) diminta mengemukakan aduan secara spesifik berkaitan penderaan, penganiayaan serta manipulasi pembantu rumah negara itu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi susulan kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berhubung isu penganiayaan terhadap pembantu rumah Indonesia di negara ini seperti dilaporkan semalam.

Semalam, Hermono dilaporkan berkata, kira-kira 90 peratus aduan diterima pejabat KBRI berkaitan pembantu rumah menunjukkan trend membimbangkan antaranya tidak dibayar gaji bulanan, dan memerlukan penyelesaian segera serta menyeluruh daripada majikan serta penguatkuasaan ketat.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar undang-undang dan syarat penggajian pembantu rumah Indonesia.

Katanya, majikan akan didakwa di mahkamah jika melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan akan disenarai hitam daripada menggajikan PRA.

“Jumlah pembantu rumah Indonesia di negara ini ialah seramai 57,916 manakala yang mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) seramai 447,094 orang, sehingga 16 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan Jabatan Imigresen itu merujuk kepada beberapa laporan media berkenaan isu penganiayaan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono.

Dalam kenyataan itu, Hermono menyatakan isu penganiayaan pembantu rumah Indonesia memerlukan penyelesaian segera dan menyeluruh daripada majikan serta penguatkuasaan ketat oleh pihak berkuasa.

Ruslin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen memandang serius mengenai isu itu dan menyatakan komitmen untuk tidak berkompromi kepada mana- mana majikan yang mendera, menganiaya serta memanipulasi pekerja asing.

Katanya, jabatan itu juga sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Majlis Anti Pemerdangan Orang (MAPO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi menangani isu eksploitasi pekerja asing termasuk dari Indonesia.

Selain itu, katanya, kebajikan dan perlindungan kepada pembantu rumah Indonesia adalah antara perkara yang dimasukkan dalam Memorandum Persefahaman Antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia Mengenai Penggajian dan Perlindungan Pekerja Domestik Indonesia di Malaysia — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button