Berita

Tindakan tegas buat pihak jual dadah di media sosial

Tindakan itu akan diambil setelah pihaknya menerusi MCMC mendapat maklumat terperinci, selain akan bekerjasama dengan PDRM.

KUALA LUMPUR 11 Julai – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak terbabit dalam aktiviti penjualan dadah jenis sintetik melalui laman sesawang gelap serta aplikasi Telegram dan WhatsApp, kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ia susulan pihaknya mengambil maklum pendedahan oleh Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suteko Ahmad Belon mengenai dadah berkenaan yang kini dijual pada harga serendah RM18 menerusi platform dalam talian.

Fahmi berkata, tindakan itu akan diambil setelah pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapat maklumat terperinci, selain akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tapi pada masa sama, saya turut difahamkan ada laman sesawang lain, saya tidak akan sebut (laman sesawang) supaya tindakan yang tepat boleh diambil,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Selain itu, Fahmi berkata satu mesyuarat telah diadakan bersama AADK, bagi membincangkan langkah dan mekanisme penting dalam membanteras kegiatan berkenaan.

Terdahulu, pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023, Suteko juga berkata bekalan dadah sintetik seperti pil kuda, syabu dan ekstasi yang dijual menerusi platform dalam talian itu dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kiriman cepat atau orang persendirian. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button