Politik

Tindakan Tiga Pemimpin Umno Tanding Atas Tiket Parti Lawan Tidak Jejaskan UMNO, BN

PONTIAN, Nov 6 — Tindakan tiga pemimpin UMNO yang bertanding atas tiket parti lawan atau Bebas disifatkan tidak menjejaskan parti dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan bilangan pemimpin yang terlibat kecil dan bukan menjadi isu besar, justeru semua jentera perlu fokus untuk memastikan kemenangan UMNO dan gabungan itu demi kestabilan politik dan rakyat.

“Tiga (orang) sahaja (yang berpaling tadah). Sikit sangat. Yang lain ok. Mereka (yang bertanding dengan tiket parti lawan dan Bebas) ni, ada yang sudah lapan penggal dan ada yang kalah dalam pemilihan ketua bahagian serta ada masalah lain yang tak perlu dinyatakan di sini, jadi kena fahamlah.

“Kita bukan sengaja buang, lapan penggal dah jadi 40 tahun, macam (Tan Sri) Annuar Musa pun sudah lapan penggal tapi bagus masih bagi sokongan (walaupun tidak terpilih jadi calon), (begitu juga) dengan (Datuk Seri) Mohamed Nazri Abdul Aziz dan (Tan Sri) Noh Omar pun masih bagi sokongan,” katanya kepada Bernama selepas sesi menyantuni masyarakat Tiong Hua di Benut, di sini, hari ini.

Penyandang kerusi parlimen Pontian itu menambah masih ada peluang lagi bagi pemimpin-pemimpin lain yang tidak terpilih menjadi calon bagi PRU15 memandangkan terdapat enam negeri lagi yang masih belum ada Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

“Jadi pemimpin UMNO yang tidak terpilih untuk jadi calon parlimen, yang masih menunjukkan kesetiaan dan sebagainya, mungkin pucuk pimpinan akan pertimbangkan untuk menerima mereka bertanding pada PRN nanti…bukan habis di situ sahaja,” kata beliau ketika ditanya sama ada tindakan tiga pemimpin UMNO tersebut akan menjejaskan UMNO dan BN pada PRU15.

Sebelum ini, penyandang kerusi parlimen Arau dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang masing-masing bertanding di parlimen Arau dan Maran atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Manakala penyandang kerusi parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu bertanding atas tiket bebas bagi mempertahankan kerusi parlimen berkenaan dan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Titi Tinggi.

Sementara itu, Ahmad yang sudah tiga penggal di kerusi parlimen itu, berharap masyarakat di Pontian akan terus memberi sokongan dan memilih BN untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.

Tidak menolak calon-calon lain juga mempunyai kekuatan yang tersendiri, beliau berharap masyarakat membuat keputusan antara memilih pemimpin yang hanya turun ke padang untuk berkempen atau memilih pemimpin yang saban minggu turun ke kawasan untuk bersama-sama dengan rakyat.

“Saya sendiri telah jaga kawasan sebaik mungkin. Setiap minggu balik (ke kawasan) tanpa gagal, baik zaman menang atau kalah. Saya harap servis khidmat saya ini diterima baik dan saya buat begini sudah sekian lama, bukan masa berkempen sahaja,” kata beliau yang akan berdepan persaingan empat penjuru kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Ahmad menang dengan majoriti 833 undi sekaligus menewaskan calon Bersatu Karmaine Sardini dan Dr Baharom Mohamad daripada PAS.

Artikel Berkaitan

Back to top button