Tinggal 20 peratus lagi JDT bakal jadi kelab bernilai RM1 Bilion – TMJ
Beberapa 'produk' JDT seperti Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin, Ahmad Aysar Hadi dan Adam Farhan Mohd Faizal berjaya memperagakan aksi yang cemerlang.

KUALA LUMPUR 26 Julai – Kemunculan ‘ubi muda’ Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terus mencuri tumpuan membuktikan program pembangunan akar umbi pasukan itu terus ‘subur’ dan berjalan mengikut landasan dimahukan.
Beberapa ‘produk’ JDT seperti Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin, Ahmad Aysar Hadi dan Adam Farhan Mohd Faizal berjaya memperagakan aksi yang cemerlang sekali gus bakal menjadi aset masa depan skuad Harimau Selatan.
Malah, pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim percaya lebih ramai pemain muda dari pasukan itu akan diberi peluang untuk membuktikan keupayaan mereka bersama pasukan utama.
“Program pembangunan kami sudah membuahkan hasil tetapi akan ada juga pemain baharu diambil pada tahun depan, cuma tak ramai, mungkin satu pemain.
“Saya rasa ramai lagi pemain dari JDTII dan JDTIII akan diterapkan dalam pasukan utama,” kata Tunku Ismail.
Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail turut berkongsi perkembangan terbaharu mengenai pasukan itu apabila mengesahkan gergasi bola sepak tempatan itu kian menghampiri sasaran menjadi pasukan bernilai RM1 bilion.
“Berdasarkan pencapaian setakat ini, 80 peratus (sudah dicapai) dan ada lagi 20 peratus untuk kita dapatkan sasaran sebagai kelab bernilai RM1 bilion.
“Ia dari segi kewangan, komersial, kekuatan dan juga aset,” katanya. — Berita Harian