Tingkat pendapatan rakyat fokus tahun kedua kerajaan perpaduan
Perkara itu dinyatakan jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Kerajaan perpaduan beriltizam meningkatkan pendapatan rakyat pada tahun kedua pentadbirannya, kata jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil.
Bercakap dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, menteri komunikasi dan digital itu berkata ia meliputi segenap sektor didorong landskap ekonomi semakin pulih dan stabil di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Tahun pertama, secara amnya kerajaan perpaduan telah berjaya mengukuhkan kestabilan politik, ini asas yang sangat penting. Tidak ada perubahan kerajaan.
“Dengan adanya asas yang stabil ini, kita dapat umumkan beberapa dasar seperti Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), peralihan kepada tenaga hijau, dan terbaharu Kertas Putih Dasar Gaji Progresif, meningkatkan gaji (penjawat awam) insya-Allah tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, dengan terus mengekalkan kerajaan perpaduan, ia membantu meningkatkan kestabilan politik, keyakinan pelabur selain mengukuhkan ringgit.
Mengulas pencapaian kerajaan perpaduan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi berkata antara lain, terbaharu lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) memeterai perjanjian langganan saham (SSA) untuk memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB), pada 1 Dis.
KKD juga, katanya, telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat dapat menikmati internet pada kadar lebih murah menerusi pelbagai pakej seperti Pakej 5G Rahmah, selain membolehkan penggunaan Starlink untuk membantu capaian internet di kawasan terpencil dan pedalaman.
“Ini terbukti dalam laporan bulanan Jabatan Perangkaan menunjukkan sektor komunikasi menunjukkan inflasi -3.7% setiap bulan untuk empat, lima bulan kebelakangan ini,” katanya.
Fahmi berkata, bawah dasar baharu “di mana ada jalan, di situ ada internet” kerjasama antara semua syarikat telco akan memastikan akses internet lebih meluas dan Melaka telah dipilih sebagai bukti konsep (POC) sebelum ia diteruskan ke seluruh negara.
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan MyDigital ID juga dapat menjamin keselamatan data peribadi pengguna selain memudahkan urusan dengan menggunakan hanya satu identiti dan kata laluan di semua platform dibangunkan kerajaan.
“Malaysia sekarang antara negara yang penggunaan datanya meningkat, kelajuan internet antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara malah di Asia Pasifik, tapi kita juga dibelenggu masalah scam. Jadi kita perlu sentiasa berwaspada,” katanya. — FMT