Berita

TLDM sahkan KD Pendekar alami kebocoran dan karam sepenuhnya

PIHAK Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan salah sebuah kapalnya, KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran besar pada kira-kira pukul 12.00 tengah hari tadi di posisi 2 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor.

Walau bagaimanapun kapal penyerang laju (FAC) tersebut telah disahkan tenggelam sepenuhnya pada pukul 3.54 petang tadi.

Menurut TLDM, ketika ini usaha menyelamat kapal berkenaan melalui operasi salvaj masih dilaksanakan.

“Usaha pantas komuniti maritim telah berjaya menyelamatkan kesemua kru kapal seramai 39 orang sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya.

“Tiada kecederaan dilaporkan (dan) mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD Sultan Ismail di Tanjung Pengelih, Johor,” kata TLDM dalam satu kenyataan sebentar tadi.

TLDM turut memaklumkan, beberapa aset miliknya turut ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa dan keselamatan persekitaran.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat insiden yang tidak sah.

“Perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui sumber rasmi TLDM,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, TLDM mengesahkan KD Pendekar terkandas di perairan Tanjung Penyusop ketika sedang melaksanakan operasi setelah kapal tersebut mengalami kebocoran di bahagian belakangnya, dipercayai akibat terlanggar objek yang belum dikenal pasti di dalam air.

Artikel Berkaitan

Back to top button