TMJ dimasyhur Pemangku Sultan Johor
Istiadat pelantikan berlangsung pada jam 10 pagi di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, di sini, di hadapan Sultan Ibrahim
JOHOR BAHRU 28 Jan – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor mulai hari ini.
Pelantikan itu diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dengan nasihat Jumaah Majlis Diraja Johor dan kuasa serta kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata pelantikan itu berterusan selama Sultan Ibrahim menjalankan tanggungjawab sebagai Yang Di-Pertuan Agong.
“Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takhluk Johor Darul Takzim dengan nasihat Jumaah Majlis Diraja dan kuasa serta kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 telah berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan Johor bermula hari ini.
“Pelantikan ini hendaklah berterusan untuk selama Sultan Johor menjalankan kerja-kerja Yang Di-Pertuan Agong. Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berkenaan gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan adalah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atau DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Istiadat pelantikan berlangsung pada jam 10 pagi di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, di sini, di hadapan Sultan Ibrahim. – Berita Harian