TMK 2025 promosi Kedah sebagai destinasi untuk pelancong domestik dan antarabangsa – Sanusi
Kerajaan Negeri Kedah malam tadi telah melancarkan Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) dengan tema “Experience Kedah”. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, menyasarkan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 adalah sesuatu yang sangat berlainan dan sangat berkualiti dalam usaha-usaha untuk mempromosikan Kedah sebagai destinasi untuk pelancong domestik dan antarabangsa.
Selain itu, untuk mejayakan lagi TMK 2025 ini beliau juga menyasarkan pelancong dari Malaysia yang hendak ke Thailand agar singgah bermalam di Kedah terlebih dahulu.
Beliau berharap pelancong yang datang ke Kedah dapat melawat madrasah dan pondok pengajian Islam yang masih banyak terdapat di negeri ini, terutama di daerah Sik, Baling, Yan, Pokok Sena dan Padang Terap. Sanusi menegaskan bahawa Kedah kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan selain Langkawi, yang merupakan pintu masuk utama pelancong ke negeri ini.
“Kita tertanya-tanya juga, mengapa masih tidak ramai orang menjadikan Kedah sebagai destinasi melancong. Mereka hanya lalu dan cop pasport di Bukit Kayu Hitam atau Durian Burung untuk ke Thailand,” ujar Sanusi.
Tema “Experience Kedah” adalah ajakan kepada pelancong untuk datang dan merasai sendiri pengalaman berada di Kedah yang sebenar. Kerajaan Negeri Kedah menetapkan lima komponen utama yang akan diberi penekanan, iaitu sumber alam semulajadi, gastronomi, seni, budaya dan sejarah.
Menurut Sanusi, Kedah berada dalam senarai Top 5 dari segi jumlah kehadiran pelancong pada tahun 2023, dengan 6.45 juta pelancong. Beliau yakin Kedah mampu menarik lebih ramai pelancong pada tahun 2025 dengan promosi dan pemasaran yang lebih intensif.