Tol percuma dua hari sempena Krismas
Pemberian tol percuma itu akan dilaksanakan pada hari 23 Disember dan 26 Disember) ini.

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Tol percuma akan diberikan selama dua hari kepada pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan sempena sambutan perayaan Krismas yang bakal disambut pada 25 Disember depan.
Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan memaklumkan, pemberian tol percuma itu akan dilaksanakan pada hari Sabtu, 23 Disember dan Selasa (26 Disember) ini.
Katanya, keputusan itu dilaksana melalui mesyuarat bersama-sama syarikat konsesi.
Menurut Kementerian Kerja Raya, pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol kecuali plaza tol sempadan negara iaitu tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
“Pemberian tol percuma ini diharapkan dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.
“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Kementerian Kerja Raya memaklumkan, pemilihan tarikh 23 dan 26 Disember itu bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan.
Selain itu, jelas kementerian itu, ia juga termasuk keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya.
Pengguna lebuh raya juga diharapkan dapat memanfaatkan peluang dengan merancang perjalanan sebaiknya serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang disyorkan.
“Pengguna juga perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya.
“Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook atau aplikasi X secara berkala.
“Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan,” katanya. — Xklusif