Berita

Tol percuma pada 8 dan 9 Februari depan

Tol percuma itu bersempena sambutan Tahun Baru Cina.

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Tol percuma akan diberikan kepada semua kenderaan persendirian pada 8 dan 9 Februari depan bersempena sambutan Tahun Baru Cina.

Menurut Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, pemberian tol percuma itu bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum Cina.

“Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya yang bermula  pada jam 12.01 tengah malam, 8 Februari (Khamis) dan akan berakhir pada  jam 11.59 malam, 9 Februari (Jumaat) di mana implikasi kewangan  dianggarkan berjumlah RM42.99 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nanta berkata pengecualian tol itu meliputi semua kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol  Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin  berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun  Baru Cina kali ini,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button