Politik

Tony Pua bikin DAP ‘panas punggung’

KUALA LUMPUR 24 Jun – Kecoh sejak semalam apabila bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua secara ‘tiba-tiba’ menggelar Barisan Nasional (BN) yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’, malam tadi.

Pua menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Untuk itu, katanya, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri perlu membuktikan sesuatu kepada rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran PH jauh lebih baik dan tidak korup seperti BN.

“Kena ingat Kerajaan Perpaduan sekarang ini mudah retak bila-bila masa. Jadi penting untuk Perdana Menteri dan keseluruhan kerajaan untuk terus berkhidmat.

“Perdana Menteri yang popular bukan untuk Petaling Jaya, tetapi untuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Sabah dan Johor,” katanya.

Kenyataan Pua turut mendapat perhatian Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyatakan sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini.

Menurutnya, ucapan daripada Tony yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan.

“Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP.

“Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP,” tegasnya.

Sementara bagi Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh, beliau meminta Pua supaya cermin diri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan dengan mendakwa Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’.

Dr Muhammad Akmal mendakwa negara melalui zaman gelap semasa ditadbir Pakatan Harapan (PH) sehingga kerajaan tersebut rebah dalam tempoh 22 bulan.

Menurutnya, ketika itu juga Pua dilantik sebagai penasihat kepada Lim Guan Eng.

“Beliau (Tony Pua) yang bertugas di Kementerian Kewangan tidak mampu memacu perkembangan ekonomi negara sehingga keluaran dalam negara kasar (KDNK) jatuh merudum dan hutang negara meningkat secara mendadak.

“Ini belum dikira dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit akibat tindakan dan keceluparan beliau yang memberi gambaran negatif tentang negara.

“Jangan dek kerana tindakan biadab seorang individu seperti Tony Pua akan mengakibatkan keharmonian dan persefahaman yang ingin dibentuk tergendala dan berhenti di tengah jalan,” katanya di Facebook.

Tidak kurang juga dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil yang membidas Pua apabila menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’.

Menurutnya, Tony Pua disarankan untuk memberi cadangan kepada pemimpin parti DAP supaya meninggalkan UMNO daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya parti itu dilihat terlalu korup.

“Jika UMNO ini korup dan kotor sangat, tidak perlu tunggu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Sekarang pun kamu boleh cadang kepada pemimpin parti tinggalkan UMNO daripada Kerajaan Perpaduan.

“Saya ‘ok’ sahaja jadi pembangkang. Jika tidak kerana titah Yang di-Pertuan Agong dahulu, UMNO dan BN memang bersedia untuk jadi pembangkang selepas PRU15 tempoh hari.

“Kamu sedia jadi pembangkang?” katanya di Facebook pada Jumaat.

Dalam isu sama, MCA turut mencabar DAP untuk mengambil tindakan ke atas Pua selepas dia menyerang Umno yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker berkata DAP perlu membuktikan ketegasan mereka dengan menghukum Pua sama seperti apa yang parti itu lakukan ke atas Superman Hew sebelum ini.

Tambahan pula kata Ti, kedudukan Pua dalam DAP bukanlah sebagai ahli biasa saja ketika ini seperti didakwa setiausaha agung parti itu Anthony Loke.

Tidak seperti Hew, kata Ti, Pua merupakan penasihat dasar kepada setiausaha agung DAP sejak 18 Mei tahun lalu.

Kenyataan Pua itu disuarakan bekas Setiausaha Publisiti DAP sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan label sama turut diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku sebuah lagi parti nasionalis Melayu.

 

Artikel Berkaitan

Back to top button