Tony Pua ‘menghadap’ Bukit Aman kes hina Agong
Beliau tiba di perkarangan Bukit Aman pada jam 12.51 tengah hari dan bertemu dengan kira-kira 30 pengamal media yang menunggu sejak jam 12 tengah hari

KUALA LUMPUR 5 Feb – Bekas setiausaha publisiti DAP, Tony Pua, tiba di Bukit Aman, di sini untuk dirakam keterangan sebentar tadi.
Beliau tiba di perkarangan Bukit Aman pada jam 12.51 tengah hari dan bertemu dengan kira-kira 30 pengamal media yang menunggu sejak jam 12 tengah hari.
Turut hadir di lokasi bagi memberi sokongan adalah Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, dan ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei.
Beliau seterusnya ditemani peguam, Haijan Omar, masuk ke Bukit Aman kira-kira jam 1.13 minit tengah hari selepas dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis, dijadualkan pada jam 1 tengah hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan, mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Tony yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Razarudin dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kenyataannya yang dimuat naik di Facebook.
“Kenyataan dibuat bersifat menghasut orang ramai supaya membenci dan menghina institusi diraja berkenaan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasanya di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya.
Beliau berkata, Tony Pua akan dipanggil bagi membantu siasatan di Pejabat USJT Bukit Aman pada 1 tengah hari, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Xklusif