Tukar Menteri Pelancongan ke kementerian lain – Sanusi
Dakwanya, isu seperti larangan minum arak dan tidak boleh berseluar pendek adalah fitnah serta pembohongan oleh menteri itu yang hanya menimbulkan masalah sehingga menjauhkan pelancong

ALOR SETAR 8 Nov – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa gambaran buruk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan pihak tertentu terhadap industri pelancongan Langkawi menjadi antara punca pelancong tidak memilihnya sebagai destinasi percutian.
Dakwanya, isu seperti larangan minum arak dan tidak boleh berseluar pendek adalah fitnah serta pembohongan oleh menteri itu yang hanya menimbulkan masalah sehingga menjauhkan pelancong.
“Dia (menteri) kata tak boleh datang Langkawi, tak boleh pakai seluar pendek, yang saya hangat hati kenapa cakap macam itu? Lepas tu dia kata kena bekerjasama dengan dia.
“Kerjasama yang pertama jangan buat publisiti buruk kepada Langkawi oleh pihak kementerian, baik timbalan menteri atau Ahli Parlimen mereka, kenapa begitu iri hati dengan Langkawi? Buat cerita yang bukan-bukan, tak ada kebaikan sama sekali.
“Lepas itu orang kata dia mabuk, dia kata apa salah, saya bukan Islam. Susahlah jawab macam itu, mabuk seorang dalam bilik tak apalah, mabuk di khalayak ramai mana boleh,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan Industri perhotelan, kereta sewa dan kedai makan di Langkawi dibimbangi semakin tenat susulan kehadiran pelancong yang semakin merosot kebelakangan ini.
Pengusaha berisiko mengalami kerugian berterusan, malah dikhuatiri pulau legenda yang sebelum ini dipenuhi pelancong domestik mahupun antarabangsa setiap kali musim perayaan bakal bertukar menjadi ‘pekan hantu’.
Muhammad Sanusi berkata, tindakan memberi persepsi negatif kepada Langkawi akan menyebabkan pendapatan sektor pelancongan negara menyusut.
Katanya, Langkawi sebelum pandemik COVID-19 memberi sumbangan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion untuk negara dengan industri pelancongan Langkawi menjadi aset pelancongan negara.
“Saya tak mahu kata mereka sabotaj Kedah, tapi mereka mensabotaj diri sendiri. Pasal sektor pelancongan ini pendapatannya pergi kepada Persekutuan. Kedah cuma tumpang jual nasi, jual coklat, hotel. Cukai perniagaan semua bayar kepada Persekutuan, Kedah kutip cukai pintu saja.
“Saya harap perkara ini dapat perhatian, kalau menteri beri publisiti negatif kepada destinasi pelancongan. Saya harap menteri itu dapat ditukar ke kementerian lain,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, antara faktor lain yang menyebabkan kekurangan pelancong ke Langkawi adalah disebabkan penerbangan terus dari beberapa negara belum bermula kecuali Singapura.
Katanya, sebelum pandemik sebanyak 60 peratus pelancong ke Langkawi adalah dari luar negara, manakala pelancong tempatan hanya menyumbang 40 peratus. – Berita Harian