Berita

Tun Daim bakal didakwa Isnin ini

Daim, 86, berkata, perkara itu dimaklumkan selepas keterangannya diambil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat

KUALA LUMPUR 27 Jan – Selepas isteri kepada Tun Dr Daim Zainuddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan tidak mengisytiharkan harta, bekas Menteri Kewangan itu pula dilaporkan akan didakwa atas pertuduhan sama pada Isnin ini.

Menerusi satu kenyataan ringkas, Daim, 86, berkata, perkara itu dimaklumkan selepas keterangannya diambil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat.

“Peguam telah maklumkan bahawa, saya akan didakwa pada 29 Januari atas kesalahan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009, ia merupakan kesalahan berkaitan dengan pendedahan aset.

“Nantikan saya di mahkamah nanti, ‘so be it’,” kata bekas pemimpin kanan UMNO itu.

Sementara itu, peguam, M Puravalen mengesahkan akan hadir bagi mewakili Daim bersama barisan pembelaan lain.

Pada Rabu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan sudah memperoleh kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Daim sejak seminggu lalu.

Katanya, Daim sepatutnya sudah boleh dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, pegawai penyiasat SPRM telah berhubung dengan peguam Daim, namun pihaknya dimaklumkan bahawa bekas Menteri Kewangan itu dimasukkan ke hospital atas alasan yang tidak dinyatakan.

Pada 23 Januari lalu, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.

Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pada 21 Disember 2023, media melaporkan bahawa SPRM telah menyita Menara Ilham milik keluarga itu.

Sementara SPRM pada 30 Disember tahun sama mengesahkan, bekas pemimpin kanan UMNO itu disiasat berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak Februari 2023.

Tidak lama kemudian, empat lagi individu berkaitan dengan Daim turut dipanggil memberi keterangan.

Pada 10 Januari lalu, Daim memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mengarahkan SPRM menghentikan penyiasatan terhadapnya, isteri serta empat anak termasuk Ilham Tower Sdn Bhd mengaitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Selain Daim, Na’imah dan empat anak, Asnida, 63, Md Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 29, Muhammed Amin Zainuddin, 26, serta lham Tower selaku pemohon pertama hingga ketujuh turut memfailkan permohonan sama menerusi Tetuan Tommy Thomas. – Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button