Berita

Tun Juhar terima Pangkat Kehormat Laksamana Muda Maritim

Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (DR.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin telah dianugerahkan pangkat Laksamana Muda Maritim Kehormat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata, penganugerahan pangkat kehormat ini telah melakar sejarah tersendiri apabila ia julung kali dianugerahkan kepada Yang Di-Pertua Negeri.

Ujar beliau lagi, penganugerahan pangkat kehormat ini sebagai tanda penghargaan pihaknya kepada Tuan Yang Terutama Tun Juhar serta kerajaan Negeri Sabah atas sokongan penuh kepada Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan perairan Sabah sentiasa terpelihara.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pemakaian pangkat kehormat berkenaan di Istana Seri Kinabalu semalam.

Turut hadir menyaksikan majlis pemakaian pangkat kehormat tersebut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W. P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik serta pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia.

Datuk Saiful dalam pada itu turut merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun kerana sudi menerima pangkat kehormat daripada Maritim Malaysia.

Artikel Berkaitan

Back to top button