Tun M banyak khilaf dengan PAS, tapi banyak juga persamaan – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR 4 Mei – Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengesahkan pertemuan dan perbincangan dengan Dr Mahathir Mohamad kerana banyak titik persamaan meskipun bekas perdana menteri itu banyak berkhilaf dengan parti mereka.
Abdul Hadi berkata, perbincangan parti itu dengan Dr Mahathir antara lain menyentuh tentang perpaduan orang Melayu.
“Walaupun beliau banyak berkhilaf dengan PAS, namun banyak titik persamaan yang wajib diambil kira dan bersatu menunaikan kewajipan agama, bangsa dan negara bersama Islam.
“Antara perbincangannya ialah wajibnya perpaduan kaum Melayu Islam yang menjadi majoriti penduduk asal Malaysia dan majoriti masyarakat majmuk.
“Maka, perlu dijelaskan perbezaan antara semangat kebangsaan yang dijadikan ideologi dengan konsep kebangsaan yang menjadi fitrah manusia mengikut ketetapan Allah SWT dan peranannya dalam melaksanakan kehidupan bermasyarakat,” tulisnya dalam artikel Minda Presiden yang disiarkan di Facebook, hari ini.
Semalam media melaporkan, presiden PAS itu dan beberapa pemimpin partinya tampil meyatakan sokongan kepada ‘Proklamasi Orang Melayu’ dan mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir yang merupakan pengasas proklamasi itu.
Perkara itu didedahkan pembantu Mahathir, Abu Bakar Yahya melalui satu hantaran di Facebooknya.
Menurut Abu Bakar, kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan dan Abdul Hadi menandatangani proklamasi berkenaan.
Antara kritikan Mahathir terhadap PAS pada masa lalu adalah bahawa pendekatan parti itu menyebabkan perpecahan orang Melayu.
Pertemuan antara Mahathir dan PAS baru-baru ini hadir susulan kempen ‘Proklamasi Orang Melayu’ yang digerakkan Dr Mahathir selepas bekas perdana menteri itu meninggalkan Pejuang. — Xklusif