Berita

Tun M dedah pujuk Guan Eng beri lebih RM10,000 setahun kepada Kedah

KUALA LUMPUR 6 Jun – Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah pun membuka kertas siasatan terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataan kontroversi Pulau Pinang milik Kedah disifatkan melampau.

Walaupun tidak mahu terpalit dengan kontroversi isu tersebut, namun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan menyiasat Muhammad Sanusi seolah-olah Menteri Besar Kedah itu melakukan jenayah pada ketika beliau hanya memberi pandangan sejarah.

Berdasarkan sejarah, Dr Mahathir berkata, Sultan Kedah pada ketika itu berkenan supaya Syarikat Hindia Timur Inggeris mengambil alih Pulau Pinang dengan bayaran 6,000 dolar Sepanyol setahun.

Kemudian, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu memaklumkan, sebidang tanah bertentangan pulau tersebut telah ditambah melibatkan 4,000 dolar Sepanyol setahun.

Katanya, perjanjian tersebut memerlukan syarikat British itu membantu mempertahankan Kedah sekiranya diserang negara asing.

“Kita tahu British gagal menghormati perjanjian tersebut.

“Perjanjian itu juga berbeza dengan penyerahan Singapura kepada British. Itu lebih kepada jualan terus. British melakukan pembayaran sebanyak 60,000 dolar Sepanyol kepada Temenggong,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, Sultan Ali iaitu Sultan pada ketika itu tidak menandatangani perjanjian tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, Sultan Ali telah dianugerahkan sebuah rumah di Kampung Gelam, Singapura, namun British tidak mengiktiraf Sultan Ali sebagai Sultan yang sah.

“Perbezaan antara perjanjian Pulau Pinang dan Singapura adalah sangat ketara.

“Saya tidak akan berkata lebih tentang perkara ini tetapi pernah memujuk Lim Guan Eng yang ketika itu menjawat Menteri Kewangan untuk memberi lebih RM10,000 kepada Kedah setiap tahun,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu polis memulakan siasatan terhadap Muhammad Sanusi susulan kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang milik Kedah, baru-baru ini.

Perdana Menteri turut menyifatkan kenyataan dikeluarkan Muhammad Sanusi sebagai tidak bertanggungjawab kerana kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, Anwar berkata, beliau menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan yang sesuai. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button