Tun M, kenapa tak boleh duduk diam?
Tiong King Sing meminta bekas perdana menteri Tun M berhenti mengelirukan orang ramai terutamanya melibatkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
KUALA LUMPUR 9 Mei – Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing meminta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) berhenti mengelirukan orang ramai terutamanya melibatkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata mana-mana pemimpin di negara ini seharusnya mencontohi sikap perdana menteri kelima Abdullah Ahmad Badawi yang berdiam diri dan terus mendoakan kesejahteraan untuk negara ini.
“Saya minta Tun M belajar dengan Abdullah – apabila berundur, beliau terus diam. Sampai hari ini beliau diam dan tidak bising, sebaliknya mendoakan untuk negara kita.
“Kenapa Dr Mahathir tidak boleh duduk diam?” katanya berucap pada program jamuan perpaduan bersama masyarakat Cina di Taman Bukit Indah, Johor Bahru malam tadi.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Presiden Amanah Mohamad Sabu dan calon PH bagi kawasan parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.
Tiong yang juga ahli Parlimen Bintulu berkata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula tidak perlu menggunakan sentimen menghukum yang boleh menimbulkan salah faham kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Sekarang kita nampak dan dengar macam-macam cerita daripada PAS. PAS buat ibarat (hanya ada) satu bangsa, satu agama sahaja di Malaysia.
“Mungkin Muhyiddin terlupa Malaysia ada berbilang kaum dan agama, kenalah saling hormat-menghormati.
“Janganlah jadi batu api hanya kerana mahukan undi rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Tiong turut berharap masyarakat memberi peluang dan masa kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi negara.
Sabtu lepas Muhyiddin semasa berceramah di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa “haram” untuk mengundi Suhaizan. — Bernama