Politik

Tun M pertikai hak PM gubal undang-undang libatkan 3R

Kerajaan sebelum ini sudah pun mengambil tindakan terhadap pesalah yang didakwa menyentuh isu 3R.

KUALA LUMPUR 26 Julai – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mempertikai keputusan dilakukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kali ini berhubung soal undang-undang berkaitan agama, kaum dan diraja (3R).

Dalam ciapan di Twitter, Dr Mahathir mempersoalkan sama ada Perdana Menteri mempunyai hak untuk menggubal undang-undang sendiri merujuk kepada keputusan kerajaan menyemak semula Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, kerajaan sebelum ini sudah pun mengambil tindakan terhadap pesalah yang didakwa menyentuh isu 3R.

“Menteri Undang-Undang (dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said) berkata kerajaan sedang mengkaji semula undang-undang berkaitan 3R.

“Tetapi sebelum ini kerajaan sudah pun mengambil tindakan terhadap pesalah 3R yang didakwa.

“Adakah Perdana Menteri berhak membuat undang-undang sendiri.

“Bahagian mana dalam Perlembagaan memberikan Perdana Menteri kuasa ini,” soal Dr Mahathir dalam ciapan tersebut.

Semalam, Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak dengan sewajarnya bagi memastikan perundangan itu digunakan hanya untuk melindungi institusi raja-raja daripada sebarang provokasi.

Azalina dalam kenyataan memaklumkan, beliau telah membentangkan kepada Jemaah Menteri hasil Dialog Perundangan 3R yang diadakan pada 21 Julai lalu bagi menangani isu provokasi melibatkan 3R.

Beliau berkata, aspek lain berkenaan provokasi yang melibatkan agama dan bangsa akan diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu, jika perlu, mengenai keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan Institusi Raja-Raja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.

Jelas Azalina, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menyemak secara terperinci Akta Hasutan 1948. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button