Berita

Tun M sengaja cetuskan ketakutan untuk raih sokongan – Kulasegaran

Perkara itu kerana Tun M dan partinya kalah semua PRU sebelum ini.

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Seorang bekas menteri yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad (Tun M) menyatakan bahawa serangan berbaur perkauman terbaru bekas perdana menteri itu terhadap kaum India adalah disengajakan dan bertujuan untuk mendapatkan sokongan politik.

Bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran berkata, ini kerana Mahathir dan parti Pejuang yang diterajuinya kalah di semua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Apa yang Mahathir mahu lakukan adalah mudah, pertama dia mahu memecahbelahkan negara dengan menggunakan bahasa penghasut yang menyasarkan kumpulan kaum atau etnik tertentu, memainkan ketegangan atau ketakutan yang ada dalam kalangan rakyat.

“Kemudian dia menjadikan satu kumpulan, kambing hitam. Dia menyalahkan satu kumpulan etnik untuk masalah masyarakat, cabaran ekonomi, atau isu lain yang boleh digunakan untuk mewujudkan musuh bersama dan mengumpulkan sokongan terhadap mereka.

“Kemudian dia mencetuskan ketakutan. Dengan mempermainkan ketakutan dan prasangka orang, dia boleh mendapat sokongan politik. Dia kemudian mempromosikan stereotaip dan menyampaikan mesej berbeza-beza mengikut khalayak.

“Kemudian dia membuat usaha terakhirnya untuk kembali berkuasa,” kata naib pengerusi DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mahathir sebelum ini berkata bahawa orang India di Malaysia tidak sepenuhnya setia kepada negara kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Dia berkata seseorang itu harus bercakap dalam bahasa Melayu sebagai bahasa utama untuk menganggap negara itu sebagai negara sendiri.

Kenyataan Mahathir itu mendapat kecaman yang meluas.

Mahathir kini dilihat bersama Perikatan Nasional (PN) dan merupakan penasihat gabungan itu di empat negeri yang ditadbir mereka.

Sementara itu, Kulasegaran berkata kesetiaan dan sumbangan kaum India kepada Malaysia tidak boleh dipertikaikan.

“Pengorbanan yang dilakukan oleh ratusan orang India, bersama-sama rakyat Malaysia, semasa detik-detik genting dalam sejarah negara kita – termasuk mempertahankan kedaulatan kita dan memerangi pemberontakan komunis – menjadi bukti yang tidak dapat disangkal tentang dedikasi dan kesetiaan mereka kepada Malaysia,” katanya. — MalaysiaKini

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button