Berita

Tun M sindir PM, ucap tahniah berjaya perangi rasuah

Tun M turut memetik 47 kes pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas ‘kejayaan’ dalam memerangi rasuah di negara ini.

Menurutnya, antara ‘pencapaian’ yang dilakukan adalah rasuah ‘dikurangkan’ dengan menghentikan dakwaan terhadap kesemua 47 kes pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Rasuah dikurang lagi apabila ‘statutory’ deklarasi bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid bahawa Anwar terlibat dengan rasuah sebanyak RM3 bilion tidak diteruskan tindakan. Dengan ini, RM3 bilion diselamatkan.

“Beberapa wakil rakyat parti pembangkang pula mengisytihar mereka sokong Anwar kerana dakwa untuk dapat peruntukan wang dari kerajaan. Ini tidak dianggap sebagai rasuah. Sekali lagi rasuah dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

“Negarawan itu juga menyindir dengan menyatakan rasuah berjaya dikurangkan apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa memiliki saham dengan jumlah yang melampau tidak dianggap sebagai rasuah.

“Ramai nama orang tertentu terdapat dalam ‘Pandora Papers’ tidak diselidik sama ada terlibat dengan rasuah atau tidak juga mengurangkan rasuah di Malaysia.

“Apabila Tun, Tun masuk penjara maka berjayalah kerajaan PMX melawan rasuah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengulas mengenai situasi kes ahli keluarga individu ‘Tun’ tertentu yang mana didapati bersalah kerana gagal mengisytihar semua harta mereka sejak 42 tahun dahulu dalam jangka masa 30 hari.

“Untuk menentu kesalahan bukti tidak penting. Tuduhan oleh Perdana Menteri cukup.

“Mereka gagal kerana tidak dapat resit-resit pembelian nasi lemak dan kopi selama 42 tahun. Semua rakyat Malaysia mempunyai bukti sah apabila mereka makan nasi lemak.

“Kenapa Tun-Tun tidak simpan semua resit segala perbelanjaan mereka selama hanya 42 tahun. Kenapa setelah diberi masa 30 hari mereka tidak patuh kepada notis dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” jelasnya. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button