TV AlHijrah tampil 9 program baharu sempena Aidiladha
Program dirangka khas itu diharap dapat mencetuskan rasa syukur jemaah atas takdir terpilih ke tanah suci

KUALA LUMPUR 23 Jun – Bersempena Hari Raya Aidiladha, stesen televisyen berkonsepkan islamik, TV AlHijrah tampil dengan sembilan program baharu demi mengimarahkan sambutan hari kebesaran tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, bertemakan Jemputan Haji, antara program menarik yang bakal dihidangkan kepada penonton adalah seperti Program Cinta Ilmu Aidiladha, Labbaikallah dan banyak lagi.
Tambah Namanzee, program dirangka khas itu diharap dapat mencetuskan rasa syukur jemaah atas takdir terpilih ke tanah suci dan rasa pengharapan kepada undangan Allah kepada mereka yang belum berkesempatan menjadi tetamu-Nya.
“Kempen Haji tahun ini juga diimarahkan dengan program Siaran Langsung Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan 2023. Sementara, Munajat Arafah pula akan mula pada 28 Jun depan.
“Program-program menarik lain yang turut disusun khas adalah seperti Hijrah Berselawat Istimewa Aidiladha, Gema Haflah Istimewa Aidiladha, Program Barakah, program Rehlah Ibrahim dan Seikhlas Hati.
“Dalam pada itu juga, TV AlHijrah turut juga membariskan beberapa program malar segar seperti Kapsul Ibadah Haji, Al-Haramain, Interaktif Haji, Ustaz Pilot, Tangisan Baitullah yang telah dimulakan siarannya sejak 22 Mei lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Namanzee turut berharap agar program-program yang diatur ini diharapkan dapat membentuk sebuah masyarakat yang kaya ilmu, bertamadun dan berjaya menjadi sebuah negara yang mendapat suluhan wahyu-Nya.
“Menaikkan slogan Jemputan Haji pada tahun ini, TV AlHijrah istiqamah meneruskan agenda dakwah.
“Semoga program-program tersebut menjadi dorongan masyarakat yang beradab, berperikemanusiaan dan berkeadilan sebagaimana digariskan oleh matlamat mewujudkan Malaysia Madani,”ujarnya. — Xklusif