Politik

‘Ucapan saya langsung tidak mempunyai niat menghina institusi Raja di negara ini’ – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menegaskan beliau tidak sama sekali berniat untuk menghina institusi raja.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ucapannya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini adalah fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dibuat secara sepintas lalu.

“Ia adalah ucapan kempen pilihan raya di mana saya menyatakan fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas PRU-15 secara sepintas lalu, dan kemudiannya menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan mereka,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, terdapat pihak telah memutar-belit kenyataannya termasuk menyunting video ucapan dengan niat untuk memfitnah kononnya dia telah menghina Yang Di-Pertuan Agong ke-16 serta menghasut rakyat supaya membenci raja.

“Dalam kenyataan saya kepada polis hari ini, saya telah menjelaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat.

“Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Menurut beliau, tidak ada sepatah pun dalam ucapannya yang menghina raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu.

Muhyiddin, pada Rabu diambil keterangan oleh pegawai polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di pejabatnya di ibu negara dekat sini.

Antara yang hadir ke pejabat Muhyiddin ialah Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Muhyiddin turut mengulas, perkara yang diucapkan telah berlaku hampir dua tahun lalu, dan dalam tempoh itu beliau berkata, dia tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina dan membenci institusi raja berperlembagaan di negara ini.

“Saya juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Malah, pada 24 November 2022, saya telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ke-10. Apa yang saya sebut dalam ucapan saya hanyalah fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah,” ujar beliau.

Muhyiddin turut menegaskan sebagai seorang rakyat biasa, beliau bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan Raja-Raja Melayu dan taat setianya kepada institusi Raja Berperlembagaan tidak dipersoalkan.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button