Ucapan Zahid Hamidi di Terengganu adalah sogokan – Khairy
Ahmad Zahid mengumumkan geran berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu.
KUALA LUMPUR 30 Julai – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa pengumuman geran kepada golongan belia di Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis pada Jumaat sebagai satu bentuk sogokan.
“Bawah Akta Pencegahan Rasuah, sogokan pada bila-bila waktu tidak dibenarkan…dan ini (pengumuman Zahid) adalah sogokan.
“Saya tidak ada keyakinan ia akan disiasat,” katanya pada siaran podcast Keluar Sekejap, hari ini.
Ahmad Zahid mengumumkan geran berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu.
Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.
Ahmad Zahid berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun Terengganu.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut senada dengan Khairy yang menyifatkan ucapan Zahid kelmarin jelas memberi sogokan dan bercanggah dengan undang-undang negara.
Beliau berkata, tindakan memberi pelbagai geran dan sumbangan kewangan dengan syarat mengundi BN dan PH jelas mempunyai unsur rasuah menjelang PRN.
“Walaupun pelbagai pihak meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam pelbagai platform media sosial di atas ucapan berkenaan, namun SPRM belum mengeluarkan sebarang kenyataan jauh beza dengan kenyataan segera terhadap tindakan pihak pembangkang.
“Jika di pihak pembangkang, menyediakan bas oleh kerajaan Kelantan untuk kemudahan pengundi pulang membuang undi, dengan tiada sebarang syarat sama ada mengundi sesiapa yang mereka suka pun, dianggap satu kesalahan rasuah.
“Hal yang sama dirasai rakyat apabila BERSIH yang satu masa dulu lantang memperjuangkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil turut sepi ketika parti pemerintah melakukan kesalahan, namun lantang mengeluarkan kenyataan membantah, kalau hal yang sama dilakukan oleh parti pembangkang,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini. — Xklusif